Kuala Lumpur - Duta Reggae Malaysia, Sasi The Don, sekali lagi mencuri perhatian peminat muzik dengan pelancaran single terbarunya yang bertajuk 'Santhosham'. Lagu yang membawa maksud 'Kegembiraan' dalam bahasa Tamil ini telah dilancarkan pada 17 Januari 2025 dan merupakan pembuka tirai kepada album terbarunya, 'My Perfect Yard'.

'Santhosham' menampilkan gabungan unik antara rentak reggae dengan melodi Tamil yang memukau, mencerminkan kepelbagaian latar belakang budaya artis tersebut. Hasil kolaborasi kreatif bersama Navin Navigator, lagu ini berjaya menghasilkan harmoni yang menarik antara elemen tradisional Malaysia, India dan Caribbean.

Sasi The Don menjelaskan bahawa 'Santhosham' bukan sekadar lagu, tetapi merupakan satu gerakan yang menggalakkan kegembiraan sejagat. Beliau menekankan bahawa kebahagiaan tidak mengenal sempadan dan boleh dikongsi bersama tanpa mengira latar belakang.
Berita menggembirakan buat peminat Sasi The Don apabila beliau turut mengumumkan perkongsian strategik bersama Sony Music Entertainment. Video muzik 'Santhosham' yang dirakam di Hotel Imperial Lexis Kuala Lumpur kini boleh distrim di saluran YouTube rasmi Sasi The Don bermula17 Januari 2025.
Peminat-peminat juga boleh menantikan album dwibahasa 'My Perfect Yard' yang akan dilancarkan pada Mei 2025. Album ini akan mengandungi tujuh buah lagu yang dijangka membawa nafas baru dalam industri muzik tempatan.
Projek kreatif ini turut mendapat sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi dan MyCreative Ventures melalui Dana Kandungan Kreatif Keupayaan Pasaran, membuktikan komitmen kerajaan dalam membangunkan industri kreatif Malaysia.
Comments