Peminat filem aksi Malaysia bakal menyaksikan kelahiran sebuah filem aksi yang menggabungkan seni mempertahankan diri silat dengan unsur-unsur fiksyen moden melalui filem 'Strike: Silat Cult Master' yang akan ditayangkan pada 13 Februari 2025.
Filem terbaru terbitan Katana Film ini menampilkan juara Hero Remaja 2023, Aiman Ameer sebagai watak utama Izra, seorang pendekar silat muda yang memburu pembunuh ibunya dalam dunia pertarungan bawah tanah yang gelap dan berbahaya.
Menurut penerbit dan pengarah filem, Mallory Lee, inspirasi untuk menghasilkan filem ini datang daripada permainan video arked pertempuran era 90-an. "Kami mahu membawakan sesuatu yang berbeza kepada penonton. Walaupun jalan ceritanya ringkas, tetapi babak-babak pertarungan yang digarap mampu menguja penonton," jelasnya.
Filem ini turut menampilkan barisan pelakon berbakat seperti Fify Azmi, Azri Safix, dan pelakon veteran Jay Iswazir sebagai Abil, watak antagonis yang bertanggungjawab atas kematian ibu Izra. Menariknya, filem ini turut menampilkan ahli gusti profesional serta pelakon tempatan Ayez Shaukat dalam watak Malik.
"Pemilihan silat sebagai teras utama filem ini bukan sekadar untuk menghiburkan, tetapi juga sebagai platform untuk memartabatkan seni mempertahankan diri warisan Malaysia di mata dunia," tambah Mallory yang optimis filem ini akan mencetuskan trend baharu dalam genre filem aksi tempatan.
Jalan cerita filem ini mengisahkan Izra yang mewarisi sebuah loket misteri daripada ibunya, Salmah (lakonan Trisha Ooi), sebelum tragedi yang menimpa keluarganya. Diselamatkan dan dilatih oleh Tok Rahmat (Muhammad Lokman), Izra kemudiannya mencari pembunuh ibunya sambil bergabung dengan sekumpulan pendekar silat untuk menentang sindiket kejahatan.
'Strike: Silat Cult Master' dijangka membawa nafas baharu dalam genre filem aksi Malaysia dengan gabungan unik antara seni silat tradisional dan elemen fiksyen moden yang menjanjikan pengalaman sinematik yang menarik untuk ditonton.
Comments