Suria FM buat julung kali mencatat sejarah apabila memenangi anugerah Media Pelancongan Kreatif Terbaik pada Majlis Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022 yang berlangsung di The Royale Chulan Hotel Kuala Lumpur pada 16 Disember 2022 (Jumaat) lalu.
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, beliau berasa teruja dan pada masa yang sama meluahkan rasa syukur di atas pengiktirafan yang cukup bermakna buat Suria FM setelah 15 tahun bertapak di industri radio tanah air.
“Kami di Suria FM ingin mengucapkan ribuan terima kasih buat Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Santai Travel dan beberapa rakan kerjasama lain seperti Islamic Tourism Centre, Tourism Malaysia, MiTDA kerana memilih Suria FM sebagai pemenang bagi anugerah berprestij pada kali ini.
Pengiktirafan ini akan menjadi satu batu loncatan buat Suria FM untuk terus membantu dan mempelopori sektor pelancongan di Malaysia dengan menghasilkan lebih banyak kandungan video yang kreatif di samping mempromosikan industri pelancongan seperti makanan, perhotelan dan sebagainya di stesen radio kami”. DJ Lin
Sementara itu, Dato’ Dr. Hj Mohd Khalid Harun, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA) berkata, "Lebih 60 penggiat industri pelancongan dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Industri Pelancongan Malaysia 2022 (Malaysia Tourism Industry Award 2022) dan Anugerah Industri Pelancongan ini adalah anugerah kemuncak industri pelancongan yang mengiktiraf semua penggiat industri Malaysia dalam menjayakan aspirasi pelancongan negara.
“Anugerah ini juga adalah penanda aras untuk menuju kecemerlangan industri pelancongan kita”, ujarnya.
Dalam perkembangan yang lain, Suria FM telah menganjurkan #GrandstandSuria E-Sukan Piala Dunia 2022 pada 14 Disember 2022 (Rabu) lalu, bertempat di Cyberatorium, Menara Star yang dihadiri lebih 100 orang tetamu. Program julung kali ini diadakan oleh Suria FM bersempena Piala Dunia 2022 yang berlangsung di Qatar juga dalam usaha melebarkan sayap digital Suria ke platform ‘gaming’ disamping menjadi inisiatif untuk mendekati pendengar setia Suria yang sentiasa menyokong Suria FM melalui saluran digital dan media sosial Suria Malaysia.
#GrandstandSuria E-Sukan Piala Dunia 2022 ini telah dimeriahkan lagi dengan perlawanan secara atas talian yang dibarisi oleh penyampai Suria FM iaitu Ajak, Shuib,Tyzo serta selebriti tanah air seperti Luqman Podolski, Akim Ahmad, Tomok, Jaa Suzuran, Eric Floor 88 dan ramai lagi!
Menurut Pengurus Besar Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, “Jumlah tontonan live E-Sukan ini telah mencatat lebih 3000 tontonan di seluruh platform media sosial Suria FM. Kami sangat teruja dengan sambutan baik daripada selebriti tanah air dan sokongan peminat Suria FM yang menyokong dan menonton perlawanan E-Sukan Piala Dunia Suria 2022. Selain itu, kami di Suria FM juga dalam perancangan untuk mengembangkan program E-sukan ini ke pelbagai cabang seperti permainan konsol yang lain dan tidak hanya tertumpu kepada bola sepak sahaja” ujarnya.
Edisi julung kali ini telah dimenangi oleh Luqman Podolski yang mengalahkan Putu Ceri dari Kugiran Masdo melalui penentuan sepakan penalti. Tempat ketiga dimenangi oleh Tomok yang menewaskan Amir Floor 88 dan sebagai tanda penghargaan, para pemenang dianugerahkan piala khas Grandstand Suria dan cenderahati barangan esklusif Suria FM seperti Jersey Suria edisi terbaru bersempena Suria 15 tahun.
Comentários