top of page
  • Writer's pictureMYB

'Tango'- Refleksi Evolusi Seni Amir Hasan

Bersedia untuk terpikat dengan evolusi muzik Amir Hasan menerusi single hip hop pertamanya, 'Tango' dan menerima mesej positif yang dibawa olehnya.


Amir Hasan
Nikmati refleksi evolusi seni Amir Hasan menerusi single hip hop pertamanya - Tango bersama Rebel Asia

Amir Hasan, penyanyi dan penulis lagu berusia 27 tahun, merupakan peserta program Big Stage musim ketiga dan dikenali menerusi melodi pop yang membangkitkan semangat yang memancarkan kegembiraan dan keceriaan. Sejak mula menceburi industri muzik pada 2014, dia telah memukau penonton dengan lagu-lagunya yang menggembirakan.


Bagaimanapun, dia baru-baru ini memulakan perjalanan seni yang segar dengan mendalami dunia hip hop menerusi single terbarunya, 'Tango'. Lagu ini menjadi bukti kebolehannya sebagai seorang artis dan mempamerkan fleksibiliti dalam gaya muziknya.


Dipengaruhi oleh legenda hip hop tempatan seperti Joe Flizzow dan Malique (Too Phat), serta artis hip hop antarabangsa terkenal seperti Eminem membuatkan Amir Hasan tertarik kepada irama hip hop bermula 15 tahun yang lalu ketika dia berusia 12 tahun . Pengaruh ini membentuk kemahirannya dalam nyanyian gaya bebas dan memberi inspirasi kepadanya untuk meneroka genre dinamik ini. Amir Hasan teruja untuk menyahut cabaran ini dan mengembangkan lagi identiti muziknya.


'Tango' adalah hasil terjemahan alter ego Amir Hasan yang mempamerkan gaya muziknya yang unik. Langkah berani ini menandakan keazamannya untuk mendalami hip hop. Lagu ini bukan sahaja memberikan pengalaman positif kepada pendengar tetapi juga memberi pengajaran berharga tentang menjalani kehidupan dengan penuh semangat dan dedikasi, berusaha untuk berjaya tanpa mengira asal usul seseorang.


"Lagu 'Tango' ini mengenai bukti kepada diri kita sendiri bahawa setiap orang mampu mengatasi sebarang cabaran dalam hidup. Malah bukan dari mana asal usul kita, tetapi kejayaan ini dapat diukur dengan usaha gigih yang dilakukan dan jangan ada perasaan tidak percaya pada diri sendiri kerana ia merupakan aspek negatif dan halangan untuk diri maju kehadapan," jelas Amir.


Proses penciptaan 'Tango' bermula dengan sesi gaya bebas spontan bersama rakan selebriti, Rebel Asia. Proses rakaman hanya mengambil masa lima jam untuk menghasilkan persembahan lagu yang sempurna.


Bagaimanapun, Amir Hasan mengakui bahawa peralihan daripada penyanyi pop kepada artis hip hop mungkin menimbulkan cabaran dan menimbulkan keraguan dalam kalangan peminatnya. Namun begitu, dia bersedia dengan sebarang kemungkinan yang mungkin timbul.


"Melalui pertemuan spontan bersama Rebel Asia, kami melakukan 'freestyle' berdasarkan perjalanan dan pengalaman dalam dunia muzik kami, kemudian lagu 'Tango' pun muncul dengan sendirinya dan akhirnya kami mengambil keputusan untuk mengeluarkan single di bawah syarikat rakaman Sony Music Malaysia," ujar Amir.


Di sebalik potensi cabaran penerimaan daripada pendengar dan peminat disebabkan peralihan genre, Amir Hasan yakin 'Tango' akan memenangi hati dan menerima sambutan hangat. Lagu itu bukan sahaja kekal relevan dengan trend semasa tetapi juga memenuhi cita rasa pendengar masa kini, terutamanya di platform media sosial seperti TikTok.


"Walaupun saya akan mengharungi beberapa cabaran seperti penerimaan pendengar dan peminat terhadap lagu 'Tango' kerana ini genre yang berbeza berbanding lagu-lagu sebelum ini.


"Namum saya juga sangat yakin dengan lagu ini, bakal memenangi hati dan mendapat sambutan daripada peminat kerana karya ini bukan sahaja mengekalkan relevansi dengan trend terkini, tetapi juga merupakan citarasa pendengar sekarang terutamanya dalam laman sosial TikTok," sambung Amir lagi.


Rebel Asia turut melahirkan rasa teruja dengan peluang berkolaborasi dengan Amir Hasan dalam lagu 'Tango'.


"Semestinya saya sangat teruja kerana dapat melibatkan diri dalam lagu 'Tango'. Kami berusaha dalam menyediakan sajian yang bermakna ini serta mengikut tren semasa yang mempunyai vibe hip hop yang catchy dan berharap pendengar dapat dikaitkan dengan diri mereka," jelas Rebel Asia.


'Tango' kini sedia untuk dimuat turun di iTunes dan boleh dinikmati pada pelbagai platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.


bottom of page