top of page

Tok Ti Gegar Indonesia! 'Menamakanmu Cinta' Pecah Jutaan Tontonan, Diangkat Jadi OST Drama 'Cinta Sepenuh Jiwa'

  • Writer: MYB
    MYB
  • 30 Sep
  • 2 min membaca

Biduanita negara pujaan ramai, Dato’ Sri Siti Nurhaliza (Tok Ti), terus mengukuhkan pengaruhnya di rantau Nusantara apabila single terbaharunya, “Menamakanmu Cinta,” dipilih sebagai lagu runut bunyi rasmi (OST) untuk siri drama terbaharu MNC Pictures, “Cinta Sepenuh Jiwa.”


Tok Ti Gegar Indonesia! 'Menamakanmu Cinta' Pecah Jutaan Tontonan, Diangkat Jadi OST Drama 'Cinta Sepenuh Jiwa'
Drama "Cinta Sepenuh Jiwa telah bersiaran di saluran televisyen RCTI sejak 25 September 2025

Keputusan meletakkan lagu sentuhan emas komposer Indonesia, Ade Govinda, dan nyanyian Ratu Pop Malaysia ini sebagai lagu tema utama drama yang telah bersiaran eksklusif di RCTI sejak 25 September lalu itu dilihat sebagai gandingan serasi.


Menurut Ade Govinda, “Menamakanmu Cinta” adalah sebuah ungkapan cinta yang mendalam terhadap insan tersayang, sesuatu yang sangat bertepatan dengan tajuk dan tema siri drama tersebut.


“Kita mungkin mencintai seseorang sepenuh hati, namun kadangkala kita tidak mengungkapkannya sepenuhnya. Itulah sebabnya saya teruja untuk melihat bagaimana jalan cerita drama ini akan berkembang selari dengan emosi lagu,” kata Ade Govinda.

Drama 'Cinta Sepenuh Jiwa' itu sendiri membawa kisah cinta yang penuh emosi dan menyentuh hati, menampilkan barisan pelakon muda berbakat termasuk Cut Syifa, Ibrahim Risyad, dan Kenny Austin. Gabungan jalan cerita yang memukau dan runut bunyi yang sarat perasaan ini menjanjikan pengalaman tontonan istimewa untuk keluarga di Indonesia.


Tok Ti Gegar Indonesia! 'Menamakanmu Cinta' Pecah Jutaan Tontonan, Diangkat Jadi OST Drama 'Cinta Sepenuh Jiwa'
Sejak dikeluarkan, “Menamakanmu Cinta” telah menerima sambutan yang sangat hangat daripada pendengar.

Populariti lagu “Menamakanmu Cinta” di platform digital jelas membuktikan sambutan hangat dari peminat serantau. Angka tontonan yang direkodkan adalah luar biasa. Video Lirik Rasmi yang dilancarkan pada 18 Julai 2025 telah meraih lebih 3.3 juta tontonan, manakala Video Muzik Rasmi yang dimuat naik pada 12 September 2025 telah melepasi 395,000 tontonan di YouTube.


Bukan itu sahaja, lagu ini turut mencatatkan lebih 4.9 juta mainan di YouTube Music dan 2.1 juta strim di Spotify, sekali gus mengesahkan kedudukannya sebagai karya yang paling diraikan dalam kalangan peminat muzik.



Pemilihan lagu yang sarat emosi ini sebagai OST drama gergasi Indonesia itu bukan sahaja melengkapkan naratif siri tersebut, tetapi turut dilihat mengukuhkan lagi hubungan seni antara Malaysia dan Indonesia.



Komen


bottom of page