Trip.com Group dan GL Play Perkukuh Kerjasama, Suntik Nilai Tambah Melalui Tawaran Diskaun Menarik
- MYB
- 3 jam lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR— Industri pelancongan tempatan terus menerima suntikan positif apabila Trip.com Group dan GL Play, cabang riadah dan hospitaliti Gamuda Land, memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam memacu pertumbuhan sektor taman tema di Malaysia.

Kerjasama ini dilihat sebagai langkah proaktif dalam meningkatkan daya tarikan destinasi riadah tempatan, sekali gus menyokong usaha negara menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau Asia. Dengan menggabungkan kekuatan teknologi dan rangkaian global Trip.com Group bersama portfolio tarikan rekreasi GL Play, inisiatif ini dijangka memberi pengalaman yang lebih lancar dan menyeronokkan kepada pengunjung tempatan serta antarabangsa.
Antara fokus utama kerjasama ini termasuk penambahbaikan pengalaman pelanggan secara menyeluruh, ia bermula daripada pembelian tiket sehingga ke kemasukan ke taman tema. Melalui penggunaan kios tiket layan diri serta sokongan pelbagai bahasa dan pilihan pembayaran, pengunjung kini dapat menikmati proses yang lebih mudah dan efisien, sejajar dengan keperluan pelancong moden yang mementingkan keselesaan dan kepantasan.
Destinasi di bawah GL Play seperti SplashMania, Paya Indah Discovery Wetlands, Discovery Park dan FunPark dijangka mendapat manfaat besar daripada kerjasama ini, khususnya dari segi promosi di peringkat antarabangsa. Pendekatan pemasaran berpandukan data turut membuka peluang kepada tarikan-tarikan ini untuk menembusi pasaran pelancong Asia dengan lebih meluas.
Menariknya, kerjasama ini turut disertakan dengan tawaran diskaun istimewa sebagai galakan kepada pengunjung untuk menikmati pengalaman riadah secara lebih berbaloi. Pelanggan yang membeli tiket menerusi kios layan diri Trip.com di SplashMania layak menikmati diskaun tambahan sebanyak 10 peratus di kedai cenderamata rasmi SplashMania, Maniacs Closet. Tawaran ini memberi peluang kepada pengunjung membawa pulang barangan eksklusif pada harga lebih menarik sebagai kenangan kunjungan mereka.
Selain itu, pengunjung juga boleh menikmati potongan harga sebanyak 15 peratus bagi kemasukan ke FunPark, Paya Indah Discovery Wetlands dan Discovery Park. Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan kos percutian keluarga, malah menggalakkan pengunjung untuk meneroka lebih banyak tarikan dalam satu perjalanan, sekali gus meningkatkan tempoh kunjungan dan perbelanjaan pelancongan domestik.
Promosi ini ditawarkan untuk tempoh terhad sehingga 31 Disember 2026, tertakluk kepada terma dan syarat serta ketersediaan tawaran. Langkah ini dilihat sebagai strategi menang-menang yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pengunjung, malah membantu meningkatkan kadar kunjungan ke taman-taman tema terlibat.
Kerjasama ini juga hadir tepat pada masanya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Selangor 2026, yang menyasarkan peningkatan ketibaan pelancong serta pengukuhan imej Malaysia sebagai destinasi riadah bertaraf dunia. Dengan gabungan inovasi digital, promosi menarik dan pengalaman pengunjung yang dipertingkatkan, industri taman tema tempatan dilihat berada di landasan kukuh untuk terus berkembang dalam landskap pelancongan serantau.









Komen