top of page

Usanita Lancar UTV: Platform OTT Baharu Buka Pintu Kepada Pencipta Kandungan Kreatif Tempatan

  • Writer: MYB
    MYB
  • 28 Ogo
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR - Industri hiburan Malaysia terus menunjukkan perkembangan dinamik dengan pelancaran platform penstriman digital baharu, UTV, yang diperkenalkan oleh Usanita Sdn Bhd. Dengan tagline menarik “Stream For You”, UTV bukan sekadar menawarkan hiburan eksklusif, tetapi turut membuka ruang kepada bakat kreatif tempatan untuk mengetengahkan karya mereka ke pentas yang lebih luas.


Usanita Lancar UTV: Platform OTT Baharu Buka Pintu Kepada Pencipta Kandungan Kreatif Tempatan
Pelancaran UTV, sebuah platform penstriman digital (OTT) baharu yang menjanjikan kandungan eksklusif dan peluang luas kepada bakat kreatif tempatan.

Presiden UTV merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Group, Datuk Adzliana Prof. Dato’ Sri Dr. Hasan atau lebih dikenali sebagai Datuk Nana, menjelaskan bahawa UTV lahir daripada pengalaman panjang Usanita dalam industri seni tempatan serta kerjasama dengan stesen TV antarabangsa. Menurut beliau, setiap karya seni bukan hanya hiburan semata-mata, tetapi merupakan legasi yang mencerminkan tamadun dan identiti bangsa.


“Industri seni adalah nadi masyarakat. Ia bukan sekadar hiburan, tetapi warisan yang mengangkat budaya, identiti dan kisah hidup kita. Dari inspirasi itu, kami lahirkan UTV sebagai platform yang bukan hanya menyiarkan karya, tetapi juga memberi ruang kepada idea baharu untuk direalisasikan,” ujar Datuk Nana.

Beliau turut menekankan bahawa ramai penulis skrip dan pencipta kandungan kreatif menyimpan jalan cerita yang hebat tetapi belum diberi peluang untuk diketengahkan. UTV hadir sebagai pemangkin kepada perubahan itu.


Menariknya, UTV beroperasi menggunakan model Pay Per Content, yang membolehkan penonton memilih kandungan mengikut minat mereka tanpa perlu melanggan keseluruhan pakej. Pendekatan ini memberi nilai eksklusif kepada setiap karya dan memudahkan pengguna menyesuaikan pilihan tontonan mereka.


Satu lagi keunikan UTV ialah keterbukaannya dalam menerima 'pitching' idea daripada semua pihak. Sama ada anda merupakan syarikat produksi besar, penerbit indie, atau penulis skrip baharu, pintu UTV sentiasa terbuka. Datuk Nana menggalakkan semua pencipta kandungan kreatif untuk menghantar idea dan sinopsis mereka melalui e-mel support@utv.com.my atau mesej di media sosial rasmi UTV seperti Instagram (@utv.official) dan TikTok (@utvoriginal).


UTV tampil dengan lima segmen utama yang memenuhi pelbagai selera penonton. Antaranya ialah UTV Original, yang menampilkan drama dan telefilem eksklusif seperti Saling Tak Terlihat, Langit Tanpa Bintang, Diari Air Mata, dan Hantu Cinta Kamu. Segmen UTV Music pula membawa konsert eksklusif ke skrin anda seperti Showcase Janji oleh Dayang Nurfaizah dan A Night With Aina Abdul 3.0.


Selain itu, UTV Podcast menawarkan program diskusi segar dan relevan seperti Hitam Putih dan Next Gen Ummah, manakala UTV Talkshow menyajikan bual bicara santai seperti Unwrapped: Kisah Disebalik Spotlight dan Cook With Sheila Rusly. Tidak ketinggalan, segmen UTV Smart menggabungkan hiburan dan ilmu melalui program seperti Bootcamp Usanita dan Online Business Game 101 bersama Zoey Rahman.


Dengan pendekatan inklusif dan kandungan berkualiti tinggi, UTV diyakini mampu menjadi platform utama yang mencungkil bakat baharu serta menghasilkan lebih banyak karya asli Malaysia yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.



Komen


bottom of page