33 Tahun Berlalu, 'Sampai Hati' Kembali Berbisa, Ameng Gabung Suara Generasi Baru
- MYB
- 19 Nov 2025
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Selepas lebih tiga dekad menghantui jiwa pendengar dengan melodi yang meruntun jiwa, lagu ikonik era 90-an, "Sampai Hati", kini diberi nafas baharu. Sony Music Malaysia baru-baru ini melancarkan versi 2025 lagu keramat tersebut, menyaksikan penyatuan suara vokalis asal kumpulan Spring, Ameng, bersama dua bakat muda tanah air, Afif Tirmizie dan Yulia Kamelia.

Projek istimewa ini bukan sekadar rakaman semula, sebaliknya satu usaha merapatkan jurang generasi menerusi sebuah karya klasik yang tidak lapuk dek zaman. Walaupun sudah 33 tahun berlalu sejak pelancaran asalnya pada tahun 1992, "Sampai Hati" ciptaan legenda M. Nasir dan lirik oleh Allahyarham Mama Juwie ini terbukti masih berbisa dengan rekod penstriman digital yang memberangsangkan sehingga kini.
Versi 2025 ini tampil dengan susunan muzik yang lebih segar dan moden, namun tetap mengekalkan 'roh' asal lagu tersebut. Gabungan vokal Ameng yang penuh pengalaman, disulami dengan teknikaliti vokal Afif (Alumni Akademi Fantasia 9) dan keunikan tona suara Yulia Kamelia (bintang I Can See Your Voice), menjanjikan satu pengalaman emosi yang berbeza namun tetap menggamit nostalgia.

Mengimbau sejarah lagu ini, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, mendedahkan satu fakta menarik bahawa "Sampai Hati" adalah 'penyelamat' karier Spring suatu ketika dahulu. Menurutnya, kumpulan itu hampir dibubarkan oleh syarikat rakaman selepas album pertama mereka gagal mendapat sambutan.
"Jika dikenang kembali 33 tahun lalu, kami semua sudah bersiap sedia untuk 'balik kampung' dan bungkus ikat. Namun, peluang kedua yang diberikan untuk merakamkan lagu ciptaan M. Nasir ini mengubah segalanya dalam sekelip mata. Daripada sebuah kumpulan yang tiada nama, melodi ikonik ini menjulang kami ke puncak populariti," ujar Ameng.
Atas dasar itu, Ameng sendiri menegaskan agar identiti asal lagu tersebut, terutamanya keaslian melodi dan solo gitarnya, tidak diubah secara drastik demi menghormati peminat setia, walaupun ia kini disuntik dengan elemen moden.
Lagu "Sampai Hati (Versi 2025)" ini merupakan sebahagian daripada misi Sony Music Malaysia untuk memartabatkan karya agung tempatan sambil memberi platform kepada bakat baharu untuk bersinar.
Peminat kini boleh melayan perasaan dengan mendengarkan "Sampai Hati (Versi 2025)" di semua platform penstriman digital bermula hari ini, atau menonton video muzik rasminya di saluran YouTube SonyMusicMYVEVO.









Komen