Andi Bernadee Kembali Menyapa Hati: “Siapakah Namamu” Cetus Rasa Cinta Pandang Pertama
- MYB
- 15 Ogo
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR — Penyanyi dan komposer berbakat, Andi Bernadee, kembali memeriahkan industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul “Siapakah Namamu”, sebuah karya romantik yang menyentuh jiwa dan membangkitkan nostalgia cinta pandang pertama.

Lagu ini merupakan hasil kolaborasi kreatif antara Andi, Kuizz dan The T, dengan Kuizz bertindak sebagai penerbit dan penyusun muzik. Menurut Andi, lagu ini lahir daripada detik inspirasi yang tercetus sebaik sahaja beliau mendengar melodi ciptaan The T.
“Melodinya terus mengikat perhatian saya. Ia berbeza daripada rentak lagu-lagu saya sebelum ini,” jelas Andi.
“Siapakah Namamu” mengisahkan tentang perasaan teruja dan kagum apabila bertemu seseorang yang memikat hati secara tiba-tiba. Liriknya menggambarkan keinginan untuk mengenali insan yang mencuri perhatian, dengan wajah yang ayu dan mempesona. Andi turut menyumbang dalam penulisan lirik, menjadikan lagu ini lebih peribadi dan dekat di hati.
Walaupun proses rakaman berjalan lancar, Andi mengakui lagu ini menuntut ketelitian dari segi teknik vokal.
“Melodinya nampak mudah, tapi ia memerlukan kawalan vokal yang rapi, terutama pada bahagian melodi yang naik dan turun,” katanya.
Andi turut memuji dedikasi rakan kolaborasinya, menyifatkan Kuizz dan The T sebagai tulang belakang kejayaan lagu ini.
“Saya sangat berpuas hati dengan kerjasama kami. Kalau ada peluang, saya pasti akan bekerjasama lagi dengan mereka,” tambahnya.
Bagi peminat yang sedang dilamun cinta atau baru mengenali seseorang yang istimewa, Andi menyarankan agar lagu ini dijadikan latar suasana romantik.
“Pasang saja lagu ini, anda akan faham perasaannya,” ujarnya sambil tersenyum.
“Siapakah Namamu” kini boleh didengari di semua platform penstriman digital bermula 15 Ogos 2025, manakala muzik video rasmi boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Andi Bernadee.









Komen