top of page
  • Writer's pictureMYB

'Bayang-Bayang' Jadi Percubaan Baru ABJAD

Abjad Aksara, atau lebih mesra dikenali sebagai Abjad, merupakan sebuah kumpulan muzik yang dianggotai oleh Adam (vokal, gitar), Sairul (gitar), Ekmal (dram), dan Arel (gitar bass).


Kumpulan ABJAD

Titik perkenalan di antara Adam, Sairul, dan Ekmal bermula seawal usia remaja pada tahun 2009 sehinggalah kini. Ketika meniti waktu remaja bersama, ketiga-tiga anak kelahiran Kuantan ini giat bermain muzik secara cover menerusi lagu-lagu popular dendangan kumpulan Paramore dan Boys Like Girls, seperti kebanyakan band-band muda ketika itu.


Dan pada masa itu jugalah mereka mula menjinakkan diri dengan seni penulisan lagu. Sehabisnya zaman persekolahan, setiap daripada mereka akhirnya membawa haluan diri masing-masing buat seketika untuk melanjutkan pengajian, lantas menyebabkan kumpulan muzik yang mereka anggotai pada ketika itu tidak berpanjangan.


Setelah hampir sedekad berlalu, takdir menemukan mereka bertiga kembali di Lembah Klang pada tahun 2017. Di kala waktu hujung minggu, aktiviti bermain muzik jamming kembali digiatkan oleh mereka menerusi sewaan studio berdekatan.


Tidak mengambil masa yang lama, daripada lagu-lagu cover sehinggalah ke sesi penerokaan bunyi-bunyian secara kasual telah membawa kembali mereka bertiga semula ke arah penggiatan kerja-kerja penulisan lagu. Pada ketika inilah, mereka bertiga memutuskan untuk menjemput Arel ke dalam projek hujung minggu mereka untuk melengkapkan seni penulisan melodi dan lagu yang mereka berempat cuba terokai bersama.


Satu-satunya anak kelahiran Parit Buntar di antara mereka berempat, Arel merupakan teman sebilik Adam sewaktu zaman pengajian universiti dahulu. Sahabat berdua ini saban hari sering meluangkan masa bersama: membincangkan lagu-lagu kegemaran mereka dari setiap album Arctic Monkeys, menonton filem-filem seram, malah turut memulakan cover band mereka sendiri.


Turut bersama dengan rakan-rakan serumah yang lain, mereka mendendangkan lagu-lagu hit terbaik independent scene tanah air di kompleks membeli-belah dan majlis jamuan fakulti di sekitar Batu Pahat.


Dengan barisan lineup yang kini sempurna, rakan-rakan ini mula mengorakkan langkah pertama mereka dengan menceburi bidang muzik secara serius. Menggelarkan diri mereka sebagai papastathopulous, kumpulan bunyian alternatif indie ini turut dibarisi oleh sahabat seperjuangan mereka, Putat di bahagian vokal.


Aktif bermain di gig-gig sekitar kawasan Lembah Klang, mereka sempat mengeluarkan EP self-titled mereka pada tahun 2019, kemudiannya disusuli dengan rilisan single tunggal mereka, ‘Kenang’ pada tahun 2020.


Kini pada tahun 2022, keempat-empat mereka ingin mencuba sekali lagi menerusi penglibatan karya muzik, disertakan dengan niat yang lebih teliti dan komitmen yang lebih tinggi. Membawa diri dengan gelaran baru, Abjad bernaung di bawah genre rock alternatif, secocok dengan gaya penulisan genre-fluid mereka.



Menerusi single pertama mereka, ‘Bayang-Bayang’, yang telah dilancar pada 16hb Februari lalu, akan disusuli dengan dua lagi rilisan single, kempen 2022 mereka akan menuju kemuncaknya dengan rilisan album full-length mereka yang pertama. Kesemua material Abjad dirakamkan di Iseekmusic Studio oleh jurutera audio veteran scene tempatan iaitu saudara Mokhtarizal, dan Luncai Emas Sdn Bhd bertindak sebagai pengedar dan penerbit rasmi.


Comments


bottom of page