Beribu Tanda Tanya: Syamel Ungkap Misteri Jiwa, Lagu 'Mahal' Dirakam di Studio Lagenda UK, Siap Jadi OST!
- MYB
- 11 Okt
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Penyanyi berbakat besar, Syamel, membuat kemunculan semula yang penuh beremosi menerusi single terbaharunya berjudul, “Beribu Tanda Tanya”, sebuah karya yang sarat emosi dan menjadi luahan jiwa mengenai keresahan dan persoalan hati yang tidak terungkai.

Lagu ini yang dilihat sebagai kemunculan semula yang bertenaga, merupakan hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer veteran, Edry Abdul Halim, yang turut bertindak sebagai penulis lirik dan penerbit.
Melalui lagu ini, Syamel mengajak pendengar menyelami perasaan seseorang yang dihantui 'beribu tanda tanya' yang tidak pernah terjawab, terutamanya dalam konteks perhubungan yang tergantung tanpa jawapan.
"Dia meluahkan rasa melalui nyanyian, penuh dengan harapan, kesedihan dan tanda tanya yang tidak berpenghujung," jelas Syamel mengenai naratif lagu yang unik dari segi penceritaan ini.

Menariknya, proses rakaman lagu ini dijalankan sepenuhnya di Voltalab Sound Studio, Manchester, United Kingdom, di bawah bimbingan Edry. Studio bersejarah ini pernah menjadi lokasi rakaman bagi band legenda UK seperti Oasis, menjadikan pengalaman Syamel merakam lagu ini sebagai sesuatu yang sangat berharga.
"Pengalaman merakam lagu ini sangat 'priceless'... Kami menggunakan khidmat jurutera bunyi tempatan dan studio yang penuh sejarah. Saya rasa sangat dihormati dapat merakamkan “Beribu Tanda Tanya” di situ,” tambahnya.

Selain kekuatan emosi dan latar belakang penerbitannya, "Beribu Tanda Tanya" turut disahkan akan menjadi lagu tema (OST) bagi drama bersiri terbaharu, “Doa Yang Terlindung”, yang bakal ditayangkan di Media Prima tidak lama lagi.
Syamel meluahkan harapannya agar lagu ini menjadi karya yang 'evergreen' dan kekal relevan, sekaligus menjadi bukti kematangannya sebagai seorang penghayat karya.
"Dan mungkin, melalui lagu ini juga, pendengar belajar bahawa kadang-kadang lebih baik kita bertanya daripada berdiam diri," ujar Syamel.
Lagu terbaharu projek usahasama Universal Music Malaysia dan Alternate Records ini kini boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama.









Komen