top of page
  • MYB

Dr. Ben Gee Kini Bergelar Penyanyi

Doktor pergigian kacak yang sensasi di TikTok dengan jumlah pengikut seramai 4.2 juta, Dr. Ben Gee kini meluaskan lagi portfolionya sebagai penyanyi selain pempengaruh sosial yang popular hadir dengan single sulung dalam bahasa Inggeris yang berjudul ‘IN YOUR FACE’ hasil ciptaan oleh Dari, Shaz dan Dr. Ben Gee sendiri dengan olahan dari komposer terkemuka, Omar K dan juga John Jeeves, dan diterbitkan oleh peneraju hiburan tanah air paling berpengaruh masa kini, Rocketfuel Entertainment.



“Seakan bermimpi! Itulah yang dapat saya gambarkan dengan kata-kata, siapa sangka dari seorang doktor gigi, ke ‘influencer’ dan kini sebagai penyanyi, saya percaya jika kita berani mencuba dan mengambil risiko, pasti akan nampak hasilnya,” luah Dr. Ben, 29 tahun.


Sejak kecil Dr. Ben sememangnya gemar berada di atas pentas, dan ketika berumur 8 tahun, dia dimasukkan ke koir opera oleh ibu bapanya dan membuat persembahan di seluruh Malaysia, kata Dr. Ben Gee, “Ketika di kolej saya pernah menyertai kelas teater dan beraksi dalam beberapa pementasan muzikal, dan sewaktu di universiti saya mula terdedah dengan dunia sosial media dan bermulalah segala-galanya sehingga saya dilamar oleh pihak pengurusan Rocketfuel Entertainment.


“Idea disebalik lagu ini datangnya dari saya sendiri, sejak kecil saya cuba untuk ‘fit in’ tetapi setelah menginjak dewasa kita tidak sepatutnya dibuli dan terus berdiam diri, kita perlu berani dan katakan ‘I’m in your face’ kepada mereka yang pernah menyelar keberadaan dan keunikan kita sebagai manusia.


“Saya mahu ‘empower’ generasi muda melalui lagu saya dengan menegaskan yang pentingnya untuk menerima diri sendiri atau ‘self-acceptance’ dan sayangi diri ataupun ‘self-love’, jangan peduli kalau ada ramai ‘haters’ kerana kita perlu berani untuk menjadi diri kita yang sebenar." Dr. Ben Gee

Proses penghasilan single memakan masa hampir setengah tahun untuk disiapkan, kata Dr. Ben, “Sejujurnya saya tidak tahu betapa susahnya proses yang diambil untuk menghasilkan sesebuah single atau MV (video muzik), bermula dari proses ‘brainstorming’, penulisan, rakaman, koreografi dan rakaman video, segala-galanya memerlukan usaha dan melibatkan ramai orang.


“Namun saya percaya dengan pihak Rocketfuel kerana berjaya merealisasikan impian saya, terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, menariknya MV saya nanti penonton akan berpeluang melihat saya berlakon dan juga menari," jelas beliau.


Lagu pop rancak moden dalam nuansa elektro (EDM) dibikin sebegitu rupa sesuai dengan jiwa Dr. Ben yang gemarkan lagu–lagu berunsur tarian yang boleh dinikmati oleh semua lapisan umur, jantina mahupun kerjaya.


“Saya seorang yang kuat bekerja dan sentiasa sibuk, kita muda hanya sekali, jadi gunakanlah peluang ini sebaiknya dan berikan yang terbaik setiap kali kerana tidak mahu menyesal di kemudian hari.


“Saya berharap lagu ini dapat membuka mata semua orang tentang kemampuan saya, semoga lagu ini diterima oleh semua dan terus mendapat sambutan sebagai lagu pembakar semangat, ingatlah ‘it’s okay to not fit in, and it’s okay to be different’ kerana kita adalah unik, dan kita adalah kita," tambah Dr. Ben lagi.


Menurut Encik Feros Sayna, Ketua Rocketfuel Entertainment, “Dr. Ben adalah di antara ‘talent’ kita yang mempunyai pengikut yang ramai di media sosial dan sering mendapat perhatian setiap kali membuat postingan, lagu baharunya bukan sahaja menghiburkan bahkan padat dengan mesej mendalam khususnya buat golongan muda masa kini.


“Semoga lagu ‘IN YOUR FACE’ ini dapat melonjakkan lagi namanya terus dikenali ramai bukan sahaja sebagai seorang doktor gigi tetapi sebagai penghibur yang serba boleh.


Lagu ‘IN YOUR FACE?’ boleh dimuat turun di iTunes mulai 7 Disember 2022 dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.


Manakala MV single ini boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


0 comments
bottom of page