Di kalangan peminat muzik tempatan mungkin ramai yang tidak begitu mengenali pemilik nama Faysal Saad, apatah lagi ramai yang mungkin beranggapan bahawa beliau adalah seorang penyanyi baru yang masih ‘hijau’ di persada seni. Namun bagi Faysal, bintangnya mula bersinar ketika dia memasuki program realiti TV Idola Kecil, apatah lagi ketika itu usianya baru menjengah 12 tahun.
Merangkak, bertatih dan kemudian berdiri, kini Faysal mampu menarik nafas lega kerana apa yang diimpikannya sudah menjadi kenyataan meskipun hanya memiliki sebuah single. 'Saksi' menjadi titik tolak untuk dirinya melangkah lebih jauh lagi.
Meskipun begitu bakat Faysal tidak harus di pandang ‘enteng’ kerana pengalaman-nya di persada seni cukup banyak, selain menyanyi dia juga punya bakat dalam bidang lakonan. Jadi tidak hairanlah mengapa Faysal mempunyai ribuan peminat di pelbagai platform media sosial.
Daripada Idola Kecil musim kedua prelude, juara Impress Your Idol 2020, Mikrofon Impian Season 2, juara Karaoke Superstar Astro Ria dan All Together Now Malaysia, kini Faysal mula melebarkan sayap seninya secara serius menerusi 'Saksi'.
‘Saksi’ lahir dengan kerjasama Wamo NSG Enterprise, membawa tema kehilangan yang boleh difahamkan mengikut terjemahan masing-masing.
“Media sosial banyak membantu saya mengetengahkan bakat nyanyian saya dan lagu Saksi ini tercipta ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kedua di laksanakan, dan saya harap agar lagu ini di terima ramai”, ujar Faysal ketika Majlis Pelancaran lagu tersebut yang di adakan di Mega Glory Hall Bandar Baru Bangi pada 11 Januari lalu.
“Saya cukup meminati bidang nyanyian, malah hampir semua uji bakat saya sertai sejak kecil sehinggalah munculnya TikTok dan Instagram yang menjadi platform untuk saya lebih dikenali”, katanya.
Keunikan lirik dan lagu irama balada yang dihasilkan sebenarnya lebih di beri penekanan buat mereka yang kehilangan pasangan akibat COVID-19, namun ianya telah digubah agar selari dengan perasaan sebuah kehilangan.
“Setiap orang ada kisah atau memori kehilangan masing-masing, tidak kiralah kehilangan isteri, kerja, anak, kawan dan apa-apa sahaja yang menjadi kenangan, jadi tidak salah rasanay jika saya meluahkannya menerusi lagu”, tambahnya.
Menurut Faysal, jadual seninya termasuk pementasan teater dan mempromosi single Saksi, padat sehingga selepas Hari Raya Aidilfitri. Malah beliau turut mengimpikan untuk berkolaborasi dengan seorang artis legenda yang baru-baru ini ada menyatakan hasrat itu setelah melihat bakatnya.
Faysal Saad yang kini berusia 25 tahun juga tidak mahu dirinya terpalit dengan sebarang kontroversi yang boleh menjejaskan kariernya sebagai anak seni dan sebolehnya untuk menghindari cerita negatif mengenainya, sebaliknya hanya mahu fokus terhadap kerjaya seninya. | BuzzingMalaysia
Comments