top of page

Kai Deva Kembali Dengan Balada Rock 'Benar Indah', Serlah Sisi Jujur Dalam Percintaan

  • Writer: MYB
    MYB
  • 3 minit lalu
  • 1 min membaca

KUALA LUMPUR – Selepas dinobatkan sebagai naib juara program realiti "Calpis Soda One In A Million" (CSOIAM), penyanyi berbakat Kai Deva kembali dengan buah tangan terbaharu yang lebih peribadi dan matang.


Kai Deva Kembali Dengan Balada Rock 'Benar Indah', Serlah Sisi Jujur Dalam Percintaan

Single terbaharunya, "Benar Indah", yang dilancarkan secara rasmi hari ini, menyerlahkan sisi jujur seorang Kai Deva dalam menafsirkan erti cinta sejati.


Lagu ini, yang diterbitkan oleh Sony Music Entertainment Malaysia dengan kerjasama Alternate Records, merupakan sebuah naskhah pop balada dengan suntikan elemen rock moden. Ia adalah ciptaan sepenuhnya oleh komposer dan penulis lirik, Firdaus Rahmat.


Menurut Kai, "Benar Indah" adalah cerminan tentang cinta yang hadir tanpa dirancang dan tidak memerlukan lakonan.


“Saya hendak sampaikan yang cinta itu tidak perlu berlebih, cukup kalau ia benar dan ikhlas. Itu yang membuat segalanya jadi ‘benar indah’,” ujar Kai.

Mesej ini diserlahkan melalui nadi lagu tersebut, iaitu lirik "Kasihmu lengkapi aku, cintaku benar indah", yang disifatkan sebagai satu pengakuan ikhlas tentang bagaimana kehadiran pasangan melengkapi diri seseorang.


Bagi Kai, proses rakaman lagu ini memberinya ruang untuk lebih jujur dalam penyampaian emosi, bukan sekadar mempamerkan kekuatan vokal.


“Lagu ini nampak lembut, tapi ia perlukan emosi yang dalam untuk ‘sampai’ dengan ikhlas,” jelasnya. “Saya tidak cuba jadi sempurna, saya cuma hendak jadi jujur.”


Komposer Firdaus Rahmat pula mendedahkan bahawa inspirasi melodi lagu ini tercetus daripada pengaruh muzik dari negara jiran. Beliau turut berkongsi falsafah di sebalik lirik utamanya.


“Ia ibarat Hawa yang tercipta daripada rusuk kiri Adam, bukannya untuk berada di atas atau bawah, tapi di sisi. Itulah makna sebenar kasih yang melengkapi,” kongsi Firdaus.

"Benar Indah" kini boleh didengari di semua platform digital utama seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music dan Deezer.



bottom of page