top of page

“Kaki Kiriku” Jadi Simbol Kebangkitan Noryn Aziz Dalam Showcase Penuh Jiwa

  • Writer: MYB
    MYB
  • 6 Sep
  • 2 min membaca

KUALA LUMPUR — Penyanyi jazz tersohor tanah air, Noryn Aziz, kembali mencuri perhatian dengan pelancaran single terbarunya berjudul “Kaki Kiriku”, sebuah karya unik yang menggabungkan elemen jazz klasik, joget tradisional dan sentuhan Parisian jazz.


“Kaki Kiriku” Jadi Simbol Kebangkitan Noryn Aziz Dalam Showcase Penuh Jiwa
Noryn Aziz, kembali memeriahkan industri muzik dengan pengumuman pelancaran single terbaharu berjudul "Kaki Kiriku," dan bakal mengundang peminat dalam sebuah persembahan istimewa berjudul "This Is Noryn Aziz Showcase.

Lebih istimewa, lagu ini turut menjadi pembuka tirai kepada showcase eksklusif beliau bertajuk “This Is Noryn Aziz” yang bakal berlangsung pada 19 September 2025 di Auditorium DBKL, Kuala Lumpur.


Selepas sekian lama tidak tampil dengan karya baharu, Noryn memilih untuk kembali dengan sesuatu yang segar dan berani. “Kaki Kiriku” bukan sekadar lagu, tetapi satu misi kecil untuk mengangkat keindahan bahasa dan budaya Melayu melalui muzik.


Lagu ini turut menampilkan elemen tongue twister Melayu yang terkenal, "Kakakku kata kuku kakiku kaku, Ku kikis kikis kuku kaki kiriku… yang mencabar lidah pendengar, menjadikan ia bukan sahaja catchy, tetapi juga sarat dengan nilai seni dan warisan.


“Ramai yang tersasul bila cuba lirik ni dan memang itu yang saya mahu! Saya mahu generasi baru tahu bahawa bahasa kita bukan beban, sebaliknya ia menyeronokkan, penuh jenaka dan ritma,” ujar Noryn yang turut bertindak sebagai penerbit eksekutif lagu ini.

“Kaki Kiriku” Jadi Simbol Kebangkitan Noryn Aziz Dalam Showcase Penuh Jiwa
Noryn menjelaskan, permainan lidah ini bukan sahaja menambah keunikan dan menjadikan lagu itu mudah diingati, tetapi juga merupakan penghargaan kepada keindahan bahasa kita.

Muzik video “Kaki Kiriku” yang diarahkan oleh Revo dan digarap secara kreatif oleh Patt Ibrahim turut menampilkan simbol kebaya sebagai lambang keanggunan dan kekuatan wanita Melayu. Ia dirakam di lokasi ikonik Limapulo Terrace, menambahkan lagi elemen budaya dalam persembahan visual lagu ini.


Sebagai pelengkap kepada pelancaran single tersebut, Noryn akan mengadakan showcase eksklusif “This Is Noryn Aziz” — sebuah persembahan satu malam yang menjanjikan pengalaman muzik yang intim, penuh emosi dan sarat dengan elemen budaya.



Showcase ini akan dibahagikan kepada dua babak utama: babak pertama menampilkan sisi jazz dan soul Noryn dengan lagu-lagu dari album terdahulu hingga ke karya terbarunya, manakala babak kedua meraikan sisi R&B beliau bersama penyanyi undangan.


“Ini bukan sekadar konsert. Ia adalah kisah saya melalui muzik — penghormatan kepada cinta, pertumbuhan, warisan dan segala-galanya yang menjadikan saya seperti saya hari ini,” kata Noryn penuh makna.

Dengan hanya 500 tempat duduk eksklusif ditawarkan, showcase ini dijangka menjadi acara yang sangat dinanti-nantikan oleh peminat setia Noryn Aziz. Ia bukan sahaja meraikan perjalanan seni beliau, tetapi juga membuka ruang kepada generasi baharu untuk melihat bagaimana muzik jazz boleh diangkat sebagai suara budaya yang hidup dan relevan.



Komen


bottom of page