Kisah Penuh Kecewa : Ernie Zakri & Anggi Marito Satukan Emosi Dua Negara Dalam Balada Menyentuh Jiwa
- MYB
- 4 hari lalu
- 2 min membaca
Dua bintang vokal dari Malaysia dan Indonesia, Ernie Zakri dan Anggi Marito, telah mencipta momen bersejarah menerusi kolaborasi balada penuh emosi berjudul “Kisah Penuh Kecewa”, yang kini menggamit hati peminat dari kedua-dua negara serumpun.

Kolaborasi ini membuktikan bahawa muzik berkualiti mampu menyatukan artis dari latar belakang yang berbeza. Walaupun Ernie dan Anggi berasal dari negara yang berlainan, gabungan suara unik dan emosi yang tulus menjadikan "Kisah Penuh Kecewa" sebuah karya yang universal.
Lagu ini pertama kali dipersembahkan secara langsung dalam konsert Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang berlangsung di The Theatre at Mediacorp, Singapura pada 31 Mei lalu. Penampilan istimewa Anggi Marito di pentas tersebut menandakan permulaan kerjasama yang menyentuh antara dua penyanyi hebat ini.
"Walaupun berbeza latar negara, kolaborasi antara saya dan Anggi membuktikan bahawa muzik tidak mengenal sempadan," kata Ernie, yang turut menekankan bahawa kerjasama sedemikian perlu diperbanyakkan untuk memperkukuh ikatan budaya di Asia Tenggara.

Tidak berhenti di situ, Anggi turut hadir ke Kuala Lumpur untuk mempromosikan lagu tersebut dan menyertai sesi makan malam eksklusif bersama peminat di restoran ikonik Hameediyah Bukit Bintang. Acara ini bukan sahaja mempertemukan artis dan peminat dalam suasana mesra, malah memperkukuh hubungan budaya antara Malaysia dan Indonesia.
Menurut Ernie, lagu ini mengisahkan cinta yang berakhir bukan kerana tiada rasa, tetapi kerana salah seorang pasangan memilih untuk tidak meneruskan hubungan. “Walaupun sedih, lagu ini membawa kekuatan tentang bagaimana seseorang itu tetap tabah menghadapi perpisahan,” jelas pemenang Vokal Terbaik AJL 39 itu.
Anggi Marito, yang dikenali menerusi pencapaiannya sebagai finalis Indonesian Idol musim ke-11, menyifatkan peluang bekerjasama dengan Ernie sebagai satu penghormatan besar. Sebagai peminat lama karya-karya Ernie, beliau tidak menyangka dapat bekerja bersama dengan idolanya.
“Saya sudah lama mengagumi suara Ernie. Dia bukan sahaja hebat secara teknikal, tetapi juga mampu menyampaikan rasa yang sangat mendalam. Saya rasa sangat terhormat dapat bekerja sama dengannya," ujar Anggi dengan penuh keterujaan..
Dengan lirik yang mudah difahami dan melodi yang menyentuh, “Kisah Penuh Kecewa” bukan sekadar lagu cinta, tetapi juga cerminan kekuatan dalam menghadapi kehilangan. Video muzik rasmi lagu ini telah berjaya meraih lebih tiga ratus ribu jumlah tontonan hingga kini sejak dimuat naik pada 23 Mei 2025 di platform Youtube . Selain itu lagu ini turut boleh didengarkan di semua platform penstriman digital.
Comments