top of page

Kolaborasi Impian Syafiq Abdilah & Killa Driz Lahirkan “Sepanjang Malam”

  • Writer: MYB
    MYB
  • 3 hari lalu
  • 2 min membaca

Kuala Lumpur – Penyanyi berbakat Syafiq Abdilah, yang mula dikenali melalui program Big Stage, kini bekerjasama dengan rapper Def Jam Malaysia, Killa Driz, untuk melancarkan single terbaru mereka berjudul “Sepanjang Malam”. Lagu ini mengisahkan perjalanan emosi yang mendalam, menyentuh tentang kenangan, kekecewaan cinta, dan pencarian ketenangan di tengah pergolakan perasaan.

Kolaborasi Impian Syafiq Abdilah & Killa Driz Lahirkan “Sepanjang Malam”

“Sepanjang Malam” menyelami tema kehilangan dan penerimaan, disampaikan melalui lirik yang tulus mengenai kehadiran cinta lalu dan perjuangan untuk melepaskan. Killa Driz menjelaskan bahawa lagu ini adalah tentang mengenang seseorang yang pernah dicintai, kemudian terus melangkah, sambil turut menggambarkan sosok individu tersebut.


Bagi Killa Driz, proses penulisan lagu “Sepanjang Malam” bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga bersifat terapeutik, membolehkannya meluahkan emosi. “Menyeronokkan dan juga terapeutik, pastinya salah satu projek kegemaran saya,” tambahnya.


Proses rakaman berlangsung dalam suasana santai dan mesra, seperti bekerja dengan rakan-rakan rapat. Killa Driz turut berkongsi, “Bekerja dengan Shazee (penerbit) seperti bekerja dengan sahabat baik. Saya akan sentiasa mengingati sesi bersama Shazee, Syafiq, dan Giz (wakil A&R) – banyak perbualan mendalam dan lucu yang benar-benar membantu membentuk suasana untuk menyiapkan lagu ini.”


Killa Driz percaya bahawa setelah lagu ini dilancarkan, ia bukan lagi miliknya tetapi milik para pendengar. Beliau berharap lagu ini dapat menjadi saluran bagi mereka yang sukar meluahkan emosi, terutamanya ketika cuba melupakan seseorang yang pernah dicintai.


“Sepanjang Malam” juga menandakan kolaborasi pertama Killa Driz dengan bakat kreatif baru yang berjaya menambat hatinya. “Saya percaya kita perlu berada di gelombang yang sama untuk bekerjasama, tetapi untuk projek ini, tiada apa yang terasa sukar. Semua orang memahami antara satu sama lain. Saya benar-benar bersyukur dan tidak sabar untuk bekerja dengan mereka lagi,” katanya mengenai kolaborasi dengan Syafiq Abdilah, Shazee, dan pengarah visual TM Farish.


Bagi Syafiq Abdilah, kolaborasi ini adalah impian yang menjadi kenyataan. “Dulu, Universal Music pernah bertanya artis mana dari Universal atau Def Jam Asia Tenggara yang paling saya inginkan untuk bekerjasama, dan saya sebut Killa Driz. Alhamdulillah, Tuhan memakbulkan doa saya.”

Proses menyiapkan lagu ini mengambil masa tiga tahun, dan menurut Syafiq, beberapa versi telah dirakam sebelum mereka memutuskan versi yang akan dikeluarkan di semua platform digital. “Inilah versi yang kami rasa sempurna dan kami harap anda semua menikmatinya,” kata Syafiq.


Lagu ini turut hadir dengan visual yang diarahkan oleh TM Farish, menampilkan elemen simbolik dua buah kereta Nissan R35 dan Cefiro, sebagai lambang pelarian jiwa yang sunyi. “Kadang-kadang bila kita kecewa, kita cuba larikan diri sejenak dengan cara yang selamat,” ujar Syafiq, merujuk kepada tema healing yang dibawakan.


Dengan kerjasama erat antara Killa Driz, Syafiq Abdilah, Shazee, dan TM Farish, “Sepanjang Malam” bukan sekadar lagu – ia adalah ruang selamat bagi mereka yang mencari makna dan ketenangan di tengah kehilangan. “Sepanjang Malam” kini boleh distrim di semua platform digital mulai 30 Mei 2025.


Comments


bottom of page