Kozae Hidupkan Semangat Sudirman dalam Balada Rap 'PENGUBAT RINDU'
- MYB
- 14 minit lalu
- 1 min membaca
KOTA KINABALU – Setelah projek kolaborasi REALITI bersama Azharina pada tahun 2024, ikon hip-hop Malaysia, Kozae (anggota kumpulan One Nation Emcees), tampil dengan single terbaharu berjudul "PENGUBAT RINDU".

Lagu bergenre rap-balada ini dilancarkan secara rasmi pada Ogos lalu, membawa intipati mendalam tentang erti persahabatan dan perjalanan untuk terus melangkah dalam kehidupan.
Apa yang menjadikan single ini luar biasa adalah kolaborasi khas Kozae bersama vokalis misteri yang hanya dikenali sebagai NXR, seorang sahabat rapat Kozae. Paling mengejutkan, vokal merdu NXR memiliki persamaan yang ketara dengan suara Allahyarham Sudirman.
Menurut Kozae, pada pendengaran pertama, ramai yang mungkin menyangka lagu ini dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) kerana kemiripan suara tersebut.

Namun, di sebalik melodi yang menusuk kalbu, "PENGUBAT RINDU" mempunyai kisah peribadi yang sangat emosional. Kozae mendedahkan bahawa lagu ini turut mengandungi 'pesanan' tulus daripada arwah sahabat baiknya, Jojoe, yang telah meninggal dunia setelah memilih jalan hidup yang berfokus kepada keimanan.
Seminggu sebelum Jojoe pergi, beliau sempat berpesan kepada Kozae, "Jika kau rindu aku, biarkan lagu-lagu aku menjadi penawar rindu kau,". Pesanan inilah yang kemudiannya menginspirasikan lirik dan maksud sebenar lagu tersebut.
Proses kreatif lagu ini menyaksikan Kozae bekerjasama dengan Dan.el dalam komposisi, manakala liriknya dihasilkan secara kolaboratif oleh Kozae, Trigga, dan Dan.el. Kini, "PENGUBAT RINDU" boleh didengarkan di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Joox, Apple Music, dan YouTube Music.