"Lebih Indah Berpisah": Bella Astillah Bangkit Dengan Lagu Penuh Makna Bersama Ade Govinda
- MYB
- 13 Jun
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan demi kejayaan dalam arena muzik, penyanyi popular Bella Astillah kembali mengukir nama dengan single terbaharu, "Lebih Indah Berpisah", hasil kolaborasi istimewa bersama komposer dan pemuzik terkenal Indonesia, Ade Govinda. Lagu penuh makna ini dilancarkan secara rasmi semalam, 12 Jun 2025 pada satu majlis sidang media eksklusif di Kuala Lumpur.

Ade Govinda, yang juga merupakan pencipta dan penerbit muzik untuk lagu ini, menjelaskan bahawa "Lebih Indah Berpisah" membawa kisah tentang kekuatan hati untuk melepaskan sebuah hubungan yang tidak lagi dihargai, demi membuka lembaran hidup yang lebih indah.
"Mesej utama lagu ini adalah keberanian untuk memilih kebahagiaan diri sendiri, bukan lagi terus berjuang sendirian dalam hubungan yang tidak seimbang," ujar Ade.
Bella Astillah sendiri menyifatkan "Lebih Indah Berpisah" sebagai sebuah karya yang sangat istimewa baginya.
"Bermula daripada cadangan tajuk yang asalnya sedikit berbeza, akhirnya saya dan Ade Govinda sepakat untuk memilih perkataan indah sebagai teras utama judul ini, mencerminkan sisi positif daripada sebuah perpisahan," kongsi Bella.
Beliau turut menambah bahawa lagu ini ditulis dengan penuh jiwa dan semangat oleh Ade, menggambarkan keberanian untuk berpisah dengan penuh keikhlasan.

Pengalaman bekerjasama dengan Ade Govinda dan pasukannya merupakan kenangan berharga buat Bella. Beliau memuji profesionalisme dan rasa hormat yang ditunjukkan oleh mereka sepanjang proses rakaman, yang menjadikan suasana di studio sangat positif dan bebas tekanan. Sokongan yang diberikan turut membuatkan Bella lebih bersemangat untuk memberikan persembahan terbaik.
Bella berharap agar lagu ini mampu memberikan kekuatan dan menjadi teman kepada sesiapa sahaja yang sedang berhadapan dengan kesedihan dalam percintaan mereka.
"Saya mahu lagu ini diterima dengan baik, dan menjadi teman kepada sesiapa yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup mereka. Saya juga berharap lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia, malah juga di Indonesia," katanya.
Selain itu, projek ini turut menjadi platform untuk Bella mencabar diri, memperbaiki mutu nyanyian, dan berkembang sebagai seorang artis. "Saya buat lagu ini bukan untuk bersaing dengan sesiapa, tetapi untuk diri saya sendiri dan untuk menjadi lebih baik," jelas Bella.
Sementara itu, Ade Govinda meluahkan rasa kagumnya terhadap profesionalisme Bella Astillah. "Bella sangat profesional, bukan sahaja dalam nyanyian malah dalam lakonan video muzik juga menunjukkan kesungguhan luar biasa. Tidak banyak wanita yang mampu menunjukkan ketabahan dan komitmen sepertinya. Bella memang hebat," ujar Ade.
Dalam tempoh sebulan dikeluarkan, lagu "Lebih Indah Berpisah" telah mencapai 700,000 jumlah tontonan di YouTube, membuktikan penerimaan positif daripada pendengar. Ia merupakan petanda baik bahawa mesej keberanian dan keikhlasan yang dibawa oleh lagu ini telah sampai ke hati pendengar.
Comments