Monosterio Raikan 20 Tahun Perjuangan Muzik dengan Album Baharu “TARI WARNA”
- MYB
- 27 Okt
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik indie terkenal tanah air, Monosterio, meraikan dua dekad perjalanan seni mereka dengan pelancaran album penuh berjudul “TARI WARNA” dalam satu majlis eksklusif di BEKL, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

Album ini menampilkan 15 buah lagu terdiri dari 10 lagu utama dan 5 lagu bonus serta dua muzik video untuk single “Boneka” dan “Tari Warna”. Menariknya, album ini dilancarkan dalam format steel pendrive edisi khas, dengan versi CD fizikal dijadualkan keluar pada Disember 2025.
Pelancaran ini turut disertai dengan showcase live dan pelancaran laman web rasmi Monosterio di www.monosterio.com, di mana peminat boleh mendapatkan album dan barangan eksklusif secara atas talian. Album ini juga tersedia di semua platform penstriman digital utama.
Lebih membanggakan, pelancaran “TARI WARNA” turut berlangsung serentak di Indonesia, dengan putaran lagu di 50 stesen radio seluruh negara tersebut.
“Kami ucap terima kasih kepada rakan media dan radio di Indonesia. Walaupun kami tak dapat hadir, lebih 50 radio memutarkan lagu kami serentak hari ini. Itu satu penghargaan besar,” jelas Anep
Monosterio merupakan sebuah kumpulan muzik yang unik kerana walaupun telah melalui perubahan nama sepanjang dua dekad, mereka tetap mengekalkan barisan ahli asal yang terdiri daripada Izan selaku vokalis, Anep sebagai pemain dram, dan Alan sebagai pemain gitar utama. Keutuhan mereka sebagai satu pasukan menjadi bukti komitmen dan keserasian yang telah terjalin sejak awal penubuhan.
Sebelum dikenali sebagai Monosterio, kumpulan ini pernah tampil dengan nama RiverMonk dan OTwo, serta menghasilkan empat buah album yang mencorakkan perjalanan muzik mereka. Di bawah nama RiverMonk, mereka melancarkan album “Dewi” pada tahun 2001 dan “Jingga” pada tahun 2002. Kemudian, dengan penjenamaan semula sebagai OTwo, mereka tampil dengan album “Radio Tanah Melayu” pada tahun 2005 dan “Evolusi” pada tahun 2010.
Setiap fasa penjenamaan ini memperlihatkan evolusi muzik mereka yang sentiasa segar dan relevan, menjadikan Monosterio sebagai antara kumpulan muzik indie yang paling konsisten dan berpengaruh dalam industri muzik tanah air.
“Kami ni jenis pemuzik yang tak kejar glamour. Apa yang kami dapat, itu rezeki. Kami lebih fokus kepada karya dan persembahan. Kalau ada rezeki untuk ke radio atau carta arus perdana, itu bonus,” ujar Izan dengan rendah diri.
Antara pencapaian mereka termasuk menjadi finalis AIM13 untuk Album Hard Rock Terbaik dan memenangi anugerah VIMA Awards Asia seperti Best Rock Song dan Best Mind-Blowing Music Video. Karya mereka juga pernah menjadi OST untuk filem dan drama popular seperti XX Ray 2, Banglo Seksyen 12, dan Kembar Sado.
Proses pembikinan album ini mengambil masa 5 bulan untuk rakaman dan adunan, manakala keseluruhan projek termasuk muzik video mengambil masa 12 bulan. Muzik video diarahkan oleh Pit Hassan (Pitto) dari Sosial Project Empire dan dirakam sepenuhnya di Alor Setar, Kedah.
Monosterio turut merakamkan penghargaan kepada MyCreative Ventures, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, serta YB Dato Fahmi Fadzil atas sokongan terhadap karya tempatan. Dengan “TARI WARNA”, Monosterio berharap dapat terus menyumbang kepada perkembangan muzik Malaysia agar mampu bersaing di pentas Asia.













Komen