Namie Pilih Berkarya Dalam Irama Pop Komedi Untuk Lagu Chegu
top of page
  • Writer's pictureMYB

Chegu: Namie Pilih Berkarya Dalam Irama Pop Komedi

Kemenangan Namie bersama Kumpulan UBI menerusi program realiti komedi Muzikal Lawak Superstar Musim ke-3 pada 2022 telah memberi tuah kepada bekas guru itu untuk mengembangkan bakatnya dalam industri seni tanah air.


Cubaan Namie mengukuhkan tempat untuk bergelar anak seni berhasil sekali lagi apabila dia berjaya mendapat tempat ketiga dalam program realiti nyanyian Mic ON! Selebriti anjuran Awesome TV pada Julai lalu.


Namie Pilih Berkarya Dalam Irama Pop Komedi Untuk Lagu Chegu
Keupayaan Namie untuk menggabungkan jenaka, lirik yang boleh dikaitkan, dan melodi yang menarik dalam lagu 'Chegu' telah berjaya memikat hati peminat-peminatnya.

Berasal dari Negri Sembilan, Namie terdahulu pernah muncul dengan single debut duet bersama kumpulan Floor 88 berjudul Kongkalikong. Terkini Namie muncul bersama single solo berjudul “Chegu”.


Lagu bergenre pop komedi itu ternyata menerima maklumbalas positif dari peminat sejak video muzik lagu tersebut dilancarkan pada September lalu sehingga kini berjaya meraih lebih 800 ribu jumlah tontonan dan pernah sohor kini di Youtube.


Lagu “Chegu” merupakan ciptaan Komposer Zai Hamzah dan Triplouz A, manakala liriknya dihasilkan oleh Namie bersama Achoi Floor 88, Triplouz A, Matzen. Mengandungi petikan senandung lagu kanak-kanak popular seperti ‘Pat-Pat Siku Lipat’, ‘Nenek Si Bongkok Tiga’, ‘Papaku Pulang Dari Kota’, ‘Lagu Tiga Kupang’, dan ‘Lompat Si Katak Lompat’ serta diselitkan dengan lirik-lirik berhikmah, lagu ini berjaya menarik perhatian ramai dan mendapat maklumbalas positif peminat.


Menerusi lagu ini, Namie berjaya menyampaikan pesanan yang memberi inspirasi dan motivasi kepada pendengar. Ia mengisahkan tentang nasihat penting seseorang guru kepada anak muridnya tentang perihal menghormati guru serta mengingatkan mereka tentang pentingnya menuntut ilmu untuk masa depan yang cerah.




Lagu ini juga menekankan bahawa nasihat yang diberikan oleh orang yang lebih berpengalaman dapat membantu kita tumbuh dan berkembang sebagai individu yang lebih baik.


Keupayaan Namie untuk menggabungkan jenaka, lirik yang boleh dikaitkan, dan melodi yang menarik telah memikat hati peminatnya. Mesej yang membangkitkan semangat dan motivasi yang disampaikan melalui lagu itu sangat bergema di kalangan pendengar, menjadikannya kegemaran ramai.


Meneruskan momentumnya,  Namie yang ditemui sewaktu acara Artists, Media & Fans Chill Sesh yang berlansung di VSINGX, Kuala Lumpur baru-baru ini memberitahu dia kini terlibat dalam program ‘gameshow’ komedi ‘Gelak 90 Saat’ terbitan Astro. Program ini menampilkan pelbagai peserta selebriti antaranya Achey, Dewa, Has, Ieda Moin, dan Norkhiriah. Selain itu, Namie juga memberitahu dia bakal terlibat di dalam penggambaran sebuah filem pada awal Januari 2024, mempamerkan kepelbagaian beliau sebagai seorang artis versatil.




bottom of page