SonaOne & tlinh Lancar “Polite”: Cinta, Senyap & Rentak Dua Dunia
- MYB
- 5 minit lalu
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Bintang rap dan penerbit popular negara, SonaOne, sekali lagi melangkaui sempadan muzik dengan mengumumkan kolaborasi rentas budaya terbaharu. Menerusi single berjudul ‘Polite’, SonaOne menggabungkan kekuatannya bersama sensasi pop-rap Vietnam yang sedang meningkat naik, tlinh.

Lagu yang dijadualkan menemui pendengar pada 4 November 2025 ini, bukan sekadar gabungan biasa. Ia adalah penyatuan dua budaya dan bunyi yang berbeza dalam satu karya yang harmoni.
Tumpuan utama ‘Polite’ adalah mesej di sebaliknya. Ia bukanlah lagu cinta yang biasa didengar, sebaliknya ia menyelami keperitan perasaan yang tidak terluah dan kegagalan komunikasi walaupun cinta masih wujud. Menurut SonaOne, yang turut bertindak sebagai penerbit , beliau mahu lagu ini terasa seperti "ribut yang senyap" (quiet storm).
"Saya mahu ia (lagu) terasa minimal, dekat, didorong oleh bunyi 808 seperti degupan jantung, menahan segala yang anda ingin katakan," jelas SonaOne mengenai visinya untuk produksi lagu itu.

Gandingan SonaOne kali ini bukanlah calang-calang. tlinh merupakan salah seorang artis generasi baharu paling berpengaruh di Vietnam. Beliau mencipta sejarah sebagai satu-satunya peserta wanita yang mara ke Top 8 dalam program Rap Việt musim pertama , dan kini memegang status sebagai artis wanita Vietnam #1 di Spotify berdasarkan jumlah pendengar bulanan tertinggi.
Menceritakan bagaimana kolaborasi ini tercetus, SonaOne mendedahkan bahawa demo asal lagu itu telah wujud sejak 2020 dan dirakam bersama penyanyi-penulis lagu Malaysia, SYA.
"Saya menyukai rakaman itu tetapi belum menemui 'rumah' yang sesuai untuknya sehinggalah Pasukan A&R saya di Def Jam Malaysia mencadangkan tlinh," kongsi SonaOne.
Bagi tlinh, peluang ini amat mengujakannya. "Apabila saya pertama kali mendengar 'Polite', saya fikir ia mempunyai rentak yang hebat dan 'hook' yang menarik," katanya. "Bekerja dengan SonaOne sangat mudah. Dia sangat menyokong dan memberi galakan".

Bagi melengkapkan gandingan ini, SonaOne telah terbang ke Ho Chi Minh City untuk merakamkan video muzik 'Polite' bersama tlinh. Ia merupakan penggambaran video muzik rasmi pertama SonaOne di Vietnam, yang turut melibatkan kerjasama dengan pasukan produksi tempatan. Visualnya juga dijangka menangkap dualiti lagu itu—antara kelembutan dan jarak, kejujuran dan keraguan.
Selepas bertahun-tahun disimpan, SonaOne berharap lagu ini dapat memberi makna kepada pendengar yang berdepan situasi sama.
"Jika lagu itu membuat seseorang merasa tidak keseorangan dalam saat itu, walaupun hanya untuk tiga minit, maka saya telah melakukan tugas saya," katanya.
“Polite” akan dilancarkan secara rasmi di semua platform penstriman digital pada 4 November 2025, dan dijangka menjadi antara kolaborasi rentas budaya paling menarik tahun ini.





