top of page
  • Writer's pictureMYB

Syahadan 2 Harap Tuah 'Pejuang Abata'

Updated: May 15

Trillion Marketing SB baru baru ini telah melancarkan sebuah lagu berjudul 'Pejuang Abata'. Lagu 'Pejuang Abata' merupakan ciptaan sepenuhnya Panglima, bakal dijadikan runut bunyi kepada filem ‘Syahadan 2’ yang kini masih diperingkat pra produksi. Filem ‘Syahadan 2' dijadual akan memulakan penggambaran pada 2025 dan bakal menemui penonton pada tahun 2026.


Pejuang Abata
'Pejuang Abata' nyanyian Amy Zakri gabung susunan muzik genre rock dan elemen muzik nusantara seperti tiupan seruling dan paluan gendang

Filem ‘Syahadan 2’ merupakan sekual kepada filem ‘Syahadan’ yang ditayangkan pada 2022 lalu, namun tidak mencapai kejayaan yang diharapkan. Filem tersebut kemudian telah melalui proses ‘remastering’ dan diluncurkan semula di platform penstriman Youtube dan berjaya memperolehi lebih 2 juta jumlah tontonan. Berdasarkan maklumbalas yang diperolehi, penonton mahukan kesinambungan untuk filem tersebut.


Pelancaran runut bunyi ‘Pejuang Abata’ merupakan usaha awal syarikat Trilion Marketing SB untuk mempromosikan filem ‘Syahadan 2’ kepada umum.


Pejuang Abata
Pengarah filem 'Syahadan 2', Datuk Fairus Hussain

Menurut penerbit yang juga merupakan pengarah filem ‘Syahadan 2’, Datuk Fairus Hussain beliau tertarik dengan lirik lagu ini ketika menerima lagu tersebut buat pertama kali.


“Ketika saya ditawarkan lagu ini, ia masih tiada tajuk. Saya dengar bait-bait liriknya begitu menyentuh soal jati diri, agama, bangsa dan tanah air serta mampu menaikkan semangat. Saya rasa lagu ini sesuai dijadikan sebagai runut bunyi untuk filem ‘Syahadan 2’, namun perlu dibuat perubahan kerana gubahan asalnya lebih menjurus kepada rentak lagu Nasyid,” ujarnya.


Menerusi pertemuan dan perbincangan diantara Datuk Fairus Hussain dan Haniff Khan Mohd Khan atau lebih dikenali dengan Anep Monosterio, lagu 'Pejuang Abata' akhirnya digubah semula oleh Alan Monosterio menjadi sebuah lagu rock serta disuntik dengan elemen melayu dan etnik seperti tiupan seruling dan paluan gendang sesuai dengan permintaannya.


Sementara itu proses rakaman lagu ‘Pejuang Abata’ dilakukan di studio rakaman Asia Empire Production, milik Anep Monosterio, ini termasuk proses adunan dan mastering oleh Anep sendiri.


Menurut Datuk Fairus Hussain lagi, judul lagu ‘Pejuang Abata’ diperolehi daripada singkatan 3 perkataan iaitu ‘Agama’, Bangsa dan Tanah Air’ yang digabungkan menjadi perkataan ‘Abata’.


“Setiap manusia lahir dari seorang ibu sebagai seorang pejuang. Sementara itu konsep lagu ini ada menyentuh soal kerohanian yang mewakili agama. Secara automatisnya selepas agama, kita memperjuangkan bangsa dan tanah air,” ujar beliau lanjut.


Pejuang Abata
Alan Monosterio, Amy Zakri dan Anep Monosterio

Mengikut perancangan awal, Datuk Fairus Hussain membayangkan lagu ini sesuai dibawakan oleh Dato Awie memandangkan susunan baru lagu tersebut telah berubah kepada genre Rock. Namun setelah mendengarkan suara Amy Zakri, beliau menjadi tertarik.


Sementara itu, Amy Zakri sendiri bukanlah seorang penyanyi baru. Amy atau nama sebenarnya Muhammad Zulhilmi Muhammad Zakri sebelum ini telahpun mempunyai 3 single berjudul Lafaz Seorang Pencinta (2019), Haluan Ku (2021) dan Pendusta (2022) namum mengharapkan tuah ’Pejuang Abata’ untuk lebih dikenali dan diminati peminat muzik tanah air.


Berkongsi keterujaan kerana terpilih untuk menyanyikan lagi ‘Pejuang Abata’, Amy berterima kasih kepada Datuk Fairus Hussain kerana mempercayai bakat dan suaranya. Dalam masa yang sama Amy memberitahu ini juga merupakan tugas yang besar buatnya membantu untuk mempromosikan filem ‘Syahadan 2’.



Lagu OST serta video muzik ‘Pejuang Abata’ telah dilancarkan di platform penstriman Youtube Arkian Studio serta platform penstriman digital lain pada 11 Mei lalu. Video muzik ‘Pejuang Abata’ turut menampilkan figura selebriti Persilatan Indonesia, Chintya Chandranaya dan Master Agus Setiawan Jaya yang turut bakal menjayakan filem 'Syahadan 2' disamping bekas pesilat negara yang juga juara dunia 4 kali, Al-Jufferi Jamari sebagai pelakon utama serta Beto Khusairy.

Comments


bottom of page