Syamel Sentuh Jiwa Pendengar Dengan Balada Pilu ‘Berakhir Kita’
- MYB
- 6 Ogo
- 2 min membaca
KUALA LUMPUR – Penyanyi bersuara lantang dan penuh emosi, Syamel, kembali menggegarkan industri muzik tanah air dengan single terbarunya berjudul ‘Berakhir Kita’, sebuah balada yang dijangka akan menyentuh hati para pendengar.

Lagu ciptaan Shazriq Azeman dan Omar K ini bukan sekadar sebuah lagu cinta biasa, tetapi merupakan luahan mendalam tentang sebuah hubungan yang terhenti sebelum sempat berkembang. Sarat dengan emosi kecewa dan kerinduan yang tak kesampaian, ‘Berakhir Kita’ memberi ruang kepada pendengar untuk merasai peritnya perpisahan yang tidak diduga.
“Lagu ini menggambarkan harapan cinta yang musnah di depan mata. Saya percaya ramai yang akan rasa dekat dengan lirik dan melodinya, terutama mereka yang pernah melalui kisah cinta yang tidak kesampaian,” ujar Syamel .
Kolaborasi Syamel bersama Omar K dan Shazriq juga dilihat sebagai satu gabungan yang serasi, bukan sahaja dari aspek kreativiti malah dari segi emosi yang ingin disampaikan.
“Mereka memberikan saya ruang untuk menjiwai lagu ini sepenuhnya, dan itulah yang membuatkan rakaman lagu ini lebih bermakna,” tambahnya lagi.
Lebih menarik, ‘Berakhir Kita’ turut dilengkapi dengan visual eksklusif yang akan diintegrasikan bersama sebuah drama bersiri yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Elemen visual ini dijangka akan memberikan impak berganda terhadap penyampaian emosi lagu tersebut.
“Gabungan muzik dan babak drama mampu memperkuatkan cerita dalam lagu ini. Saya yakin ia akan buat pendengar lebih terasa,” jelas Syamel.
Diterbitkan hasil kerjasama antara Universal Music Malaysia, Maison Management dan Global Keynote Sdn. Bhd., lagu ini turut mendapat sokongan penuh pasukan produksi yang bersatu dalam menjayakan karya penuh jiwa ini.
‘Berakhir Kita’ kini sudah boleh distrim di semua platform penstriman digital mulai 6 Ogos 2025, dan berpotensi besar menjadi runut bunyi bagi ramai individu yang pernah melalui kisah cinta yang sama - indah di permulaan, namun berakhir tanpa noktah bahagia.
Komen