Teknologi A.I 'Hidupkan' Kembali Nike Ardilla Dalam Duet Terbaru Bersama Melly Goeslaw
top of page
  • Writer's pictureMYB

Teknologi A.I 'Hidupkan' Kembali Nike Ardilla Dalam Duet Terbaru Bersama Melly Goeslaw

Dalam industri muzik Indonesia, nama Melly Goeslaw dan Allahyarhamah Nike Ardilla adalah figura terkenal yang telah meninggalkan jejak populariti untuk dikenang ramai.


Mereka adalah sahabat sejati yang telah menginspirasi jutaan pendengar dengan hits mereka. Meskipun Nike Ardilla sudah tidak ada, Melly Goeslaw masih belum melupakan lalu mencipta sebuah 'memori' indah dalam karya muzik terbarunya.


Teknologi A.I 'Hidupkan' Kembali Nike Ardilla Dalam Duet Terbaru Bersama Melly Goeslaw.
Tanda cinta seorang sahabat. Melly Goeslaw mencipta memori indah bersama Allahyarhamah Nike Ardilla dalam duet terbaru, "Bertemu Kembali"

Pada 6 Disember 2023, Melly Goeslaw telah melancarkan single serta video muzik terbaru berjudul "Bertemu Kembali". Lagu ini dikeluarkan bersempena untuk memperingati hari lahir Nike Ardilla yang jatuh pada 27 Disember sekaligus menjadi penghormatan indah buat rakannya itu, serta untuk memastikan namanya kekal diabadikan di hati masyarakat Indonesia.


Yang membuat lagu ini lebih istimewa adalah penggunaan teknologi kecerdasan buatan (A.I) yang memungkinkan Melly Goeslaw berduet secara virtual dengan Nike Ardilla.


Menerusi "Bertemu Kembali" Melly Goeslaw dilihat telah merintis kemajuan yang cemerlang dalam dunia muzik Indonesia dengan menggabungkan dua lagu berbeza menjadi satu.


"Bertemu Kembali" menggabungkan lagu abadi Nike Ardilla, "Duka Pasti Berlalu", yang ditulis oleh Dadang S Manaf, dengan gubahan baharu daripada Melly Goeslaw. Pendekatan unik ini mewujudkan suasana menawan untuk pendengar dan mempamerkan kehebatan kreatif Melly. Melalui teknik inovatif ini, Melly Goeslaw berhasrat untuk mengurangkan kerinduan yang dirasai oleh peminat setia Nike Ardilla.


Majlis pra-dengar lagu "Kembali Bertemu", Melly Goeslaw bersama media Indonesia.

      Sumber: IG@melly_goeslaw

 

Walaupun menggunakan vokal asal daripada lagu terdahulu, "Bertemu Kembali" terasa segar dan menarik minat peminat lama mahupun pendengar baru. Susunan dan gubahan baharu lagu ini memberi nafas segar kepada suara Nike Ardilla, membolehkan pendengar benar-benar menyelami muzik yang disampaikan. Hasrat Melly Goeslaw adalah untuk membawa peminat kembali ke puncak kerjaya Nike Ardilla, membangkitkan rasa nostalgia dan pembaharuan.


Lagu ini mempamerkan potensi teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam mencipta karya muzik yang luar biasa dan inovatif. Dengan menunjukkan integrasi AI ke dalam proses kreatif, Melly Goeslaw menggalakkan rakan pemuzik untuk meneroka jalan baharu dan menerima kemajuan teknologi dalam mengejar gubahan muzik yang unik.


Dengan "Bertemu Kembali," Melly Goeslaw dan Nike Ardilla membuktikan bahawa muzik tidak mengenal batas, malah merentasi masa dan merapatkan jurang antara masa kini dan masa lalu.Melly juga berharap "Bertemu Kembali" akan menjadi sumber inspirasi kepada persada muzik Indonesia.

bottom of page