Viral Sebelum Diluncur! "Basstamam" Syed Iqbal Cetus Fenomena 20,000 Ciptaan Kandungan TikTok
- MYB
- 3 hari lalu
- 2 min membaca
Penyanyi baharu, Syed Iqbal, mencuri perhatian ramai apabila lagu debutnya “Basstamam” telah menjadi fenomena dengan lebih 20,000 ciptaan kandungan video di TikTok, dan lebih 2,000 ciptaan kandungan video di Instagram.

Peminat secara organik telah mencetuskan trend viral yang dinamakan ‘Wahai Bulan Purnama’ , di mana pengguna menunjukkan transformasi diri mereka dari masa lalu ke arah yang lebih baik.
“Basstamam”, yang bermaksud ketenangan dan kebahagiaan, merupakan hasil kolaborasi kreatif bersama label berteras keislaman Masyhur, di bawah naungan Universal Music Malaysia.
Lagu ini dicipta oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, dengan lirik menyentuh jiwa hasil nukilan Abdulkarim Al Ali dan Wan Saleh membawa mesej murni tentang menenangkan insan tersayang sama ada sahabat, keluarga, atau kekasih untuk menikmati hidup tanpa dibebani masalah.

Syed Iqbal turut berkongsi keterujaannya mengenai proses rakaman yang berjalan lancar. "Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman, tapi lama-kelamaan saya dapat catch up dan berasa sangat gembira. Paling membanggakan, saya hanya perlukan dua jam sahaja untuk siapkan rakaman lagu ini," ujarnya.
Penyanyi muda ini berharap pendengar dapat menghayati setiap bait lirik dan merasai ketenangan yang cuba disampaikan. "Harapan saya agar lagu ini tersebar luas dan membawa mesej positif kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya," ujar Syed Iqbal.
Video muzik (MV) "Basstamam" juga melibatkan penggambaran yang mencabar, termasuk aktiviti mendaki bukit dari pagi hingga petang. Namun, Syed Iqbal memuji semangat pasukan yang sangat menyokong, menjadikannya bersemangat untuk menjayakan MV tersebut.
Lagu "Basstamam" kini tersedia di semua platform penstriman digital bermula 30 Mei 2025. Video muziknya juga boleh ditonton di saluran YouTube rasmi Masyhur. Dengan mesej yang mendamaikan dan susunan muzik yang menyentuh perasaan, "Basstamam" dijangka akan mendapat tempat di hati pendengar dari pelbagai latar belakang.
コメント